Umno yakin k'jaan timbang semula pindah TUDM
Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yakin kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan semula cadangan memindahkan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Teluk Air Tawar, Butterworth untuk dimajukan dengan pembangunan bersepadu.
Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Osman berkata projek yang akan dimajukan di kawasan berkenaan tidak memberi faedah secara langsung kepada rakyat negeri ini.
"Apa yang saya katakan ini bukan pandangan peribadi sebaliknya keputusan mesyuarat Umno pada 28 Februari lepas yang membantah keputusan kerajaan persekutuan itu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini.
Pada 5 Februari, Bernama melaporkan bahawa TSR Capital Bhd mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan untuk berunding mengenai terma yang dicadangkan bagi penempatan dan pembinaan semula pangkalan tentera udara baharu di Pulau Pinang melalui pertukaran tanah.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia bulan lepas, TSR Capital Bhd menyebut cadangan berkenaan akan dibuat melalui syarikat usaha sama (JVC) dan JVC mencadangkan kepada kerajaan agar memindah dan membina semula sebuah pangkalan TUDM di Butterworth ke satu lokasi yang akan dikenal pasti.
Pangkalan TUDM ketika ini di Teluk Air Tawar, Seberang Perai dengan keluasan lebih kurang 407 hektar, terletak kira-kira lapan kilometer dari Butterworth dan menghadap ke arah Pulau Pinang.
- Bernama

