Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Juruterbang telefon dari kokpit sebelum berlepas'
Diterbitkan:  Mar 21, 2014 9:58 AM
Dikemaskini: 9:40 AM

Satu laporan mendakwa bahawa juruterbang pesawat MH370 Malaysia Airlines membuat panggilan dari dalam kokpit sejurus sebelum berlepas.

Akhbar The Sun UK berkata penyiasat cuba menyiasat dengan siapa Kapten Zaharie Ahmad Shah bercakap dalam kokpit sebelum pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) pada jam 12.41 pagi 8 Mac.

Maklumat itu diiharapkan ini dapat membantu menjelaskan kenapa pesawat itu secara misteri hilang dari radar awam kurang satu jam kemudiannya, kata laporan itu.

Polis Malaysia tidak secara rasmi mengulas mengenai penyiasatan berkaitan dengannya tetapi pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menegaskan bahawa kesemua 227 penumpang dan 12 kru penerbangan itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Polis sedang menyiasat "faktor manusia" selepas menyimpulkan bahawa komunikasi penerbangan itu sengaja dimatikan dan pesawat itu juga ditukar haluan dengan sengaja.

Polis pergi ke rumah Zaharie dan pembantu juruterbang Fariq Ab Hamid pada 13 Mac selepas pemeriksaan latar belakang penumpang oleh agensi perisikan antarabangsa tidak menghasilkan apa-apa.

Pihak berkuasa telah mengambil simulator penerbangan Zaharie dan kini mendapatkan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS untuk mendapatkan semula data yang dipadam dari peranti.

Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan KLIA-Beijing hilang komunikasi ketika melalui Teluk Thailand pada jam 1.30 pagi dua minggu lalu.

Penyiasat menyimpulkan bahawa pesawat itu telah berpatah balik selepas hilang komunikasi dan kini usaha mencari ditumpukan ke koridor utara atau selatan berdasarkan data radar tentera dan satelit.

Koridor utara ialah dari sempadan utara Thailand hingga ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan pula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Setakat ini, 26 negara telah menggerakkan aset mereka dalam usaha mencari MH370 yang hilang itu tetapi tiada sebarang hasil dalam operasi yang memasuki hari ke-14 hari ini.

[Baca berita penuh]

ADS