Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek menyarankan agar semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) membuka akaun Facebook (FB) dan menjadi rakan FB ESSCOM bagi memudahkan mereka menyalurkan maklumat penting, terutama berkaitan keselamatan.

Beliau berkata kecanggihan media sosial, termasuk FB yang menjadi wahana penting dari segi perkongsian maklumat, boleh membantu memantapkan lagi operasi pengawasan dan keselamatan bersepadu, khususnya di Esszone.

"Kawasan Esszone adalah luas dan kita perlu maklumat yang sahih dan cepat. Misalnya jika kampung mereka didatangi pendatang tanpa izin (PATI) atau berlaku aktiviti jenayah, anggota KRT di situ boleh melaporkannya terus kepada Esscom melalui FB untuk tindakan susulan.

"Ini mungkin merupakan pendekatan baharu yang boleh diteroka dalam usaha kita memastikan kawasan Esszone sentiasa berada dalam keadaan aman dan damai," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan bersempena lawatan delegasi pegawai kanan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang diketuai pengarahnya, Delin Liet Ak Blaun ke ibu pejabat Esscom semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Awam dan Khidmat Pengurusan Esscom Abdul Rahim Ishak.

Mohammad berkata Esscom juga sedia bekerjasama dengan JPNIN, khususnya unit Skim Rondaan Sukareka (SRS), dalam melakukan rondaan kawasan KRT di Esszone.

"Sebagai projek perintis, Esscom dan unit SRS (JPNIN) boleh melakukan rondaan bersama di kawasan 'panas' yang menjadi 'laluan tikus' (laluan PATI) untuk memasuki negeri ini.

"Kita juga memberi keutamaan kepada kampung yang banyak berlaku jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan dan penculikan," katanya.

Terdahulu, Delin Liet berkata terdapat 262 KRT di Esszone dan jumlalh itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

Beliau turut menyambut baik kesediaan Esscom mengadakan program bersama bagi mempertingkat semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Esszone.

- Bernama