Memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas tanpa perlu mengikuti kelas tambahan di luar sudah mencukupi untuk dua pelajar Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, di Kuantan memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2013.

Audrey Chan Ai Shan yang memperolehi 10 A+ dalam semua mata pelajaran yang diambilnya berkata dia hanya memberikan tumpuan penuh ketika sesi pembelajaran di sekolah serta mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.

"Ketika sesi pembelajaran di sekolah, saya akan beri tumpuan sepenuhnya dan balik buat ulang kaji di rumah tanpa perlu hadiri mana-mana kelas tambahan luar atau tuisyen," katanya ketika ditemui di Kuantan hari ini.

Walaupun aktif dalam sukan soft ball dengan memenangi beberapa pertandingan di peringkat negeri dan antarabangsa, Audrey berkata perkara itu tidak pernah mengganggunya dalam pelajaran.

Formula kejayaan Audrey iaitu fokus semasa dalam pembelajaran di kelas tanpa mengikuti kelas tuisyen di luar, turut dikongsi oleh rakannya, Fatin Nur Afiqah Suris yang memperolehi 9A+.

- Bernama