Bekas presiden Indonesia yang juga dikenali sebagai jurutera kapal terbang, Profesor BJ Habibie percaya, pesawat MH370 yang hilang mungkin sudah meletup pada ketinggian 33,000 kaki dari permukaan laut.

Ramalnya, letupan pesawat itu berpunca daripada kebocoran tangki minyak yang ada di bahagian pesawat.

Namun tegasnya, punca sebenar letupan yang diramalkannya itu hanya dapat diketahui dari kotak hitam pesawat tersebut.

Menurutnya, juruterbang mungkin tidak sempat memaklumkan situasi cemas yang berlaku kerana beliau perlu mencari landasan terdekat untuk pendaratan.

"Baharu saja (juruterbang) melihat amaran pada skrin lalu (pesawat) meledak.

"Mungkin kerana itu juruterbang tidak sempat menghubungi dan melaporkan situasi kecemasan," kata Habibie seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Habibie sewaktu kariernya sebagai jurutera penerbangan membangunkan teori tentang termodinamik, pembinaan dan aerodinamik yang dikenali sebagai Faktor Habibie, Theorem Habibie dan Kaedah Habibie.

Beliau pernah dilantik menjadi naib presiden Messerschmit, sebuah syarikat penerbangan di Jerman yang terlibat membangunkan pesawat Airbus A-300B.