Yayasan Wilayah Persekutuan semalam menubuhkan Pusat Kelestarian Greater Kuala Lumpur/Klang Valley untuk menjalankan kajian bagaimana untuk meningkatkan kehidupan penduduk-penduduk di Lembah Klang.

    

Pengerusinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pusat itu akan mengeluarkan idea dan polisi yang bukan hanya membentuk kawasan bandar ke arah pertumbuhan mampan tetapi juga mencapai kelebihan saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

    

Tengku Adnan yang juga menteri wilayah persekutuan berkata pusat itu akan menumpukan kajian untuk meningkatkan kawasan bandar seperti pengangkutan dan kualiti kehidupan.

    

Pusat itu akan dibangunkan bersama AECOM - sebuah syarikat antarabangsa yang  menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan sokongan kepada pelbagai pasaran termasuk pengangkutan, kemudahan, alam sekitar, tenaga, air dan kerajaan.

    

Tengku Adnan kemudian menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Datuk Roslan Hassan dan Eksekutif Serantau, Asia Selatan dan Tenggara AECOM, Peter Lee untuk memulakan kerjasama dan penubuhan pusat itu.   

Roslan berkata, anggaran kos menubuhkan pusat itu adalah sebanyak RM7 juta dan akan dikongsi dengan AECOM.

    

Naib Presiden AECOM, Scott Dunn berkata pihaknya akan berkongsi kepakaran dan pengetahuan sedunianya untuk menjalankan kajian kemampanan menerusi Pusat Kelestarian Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.

    

"Tumpuan kami adalah untuk melakukan kajian dan pembangunan, persidangan, bengkel dan perundingan untuk sektor awam dan swasta bagi meningkatkan kehidupan penduduk-penduduk di kawasan bandar," katanya.  

    

-Bernama