Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini membidas wakil media asing yang bukan sahaja sering mengerumuninya tetapi juga berasak-asakan ketika mahu mendapat perkembangan terkini mengenai kehilangan MH370 daripada beliau.

    

Hishammuddin berkata kelakuan sedemikian menyebabkan jurukamera dan jurugambar gagal mendapat rakaman yang baik sekali gus memberi tanggapan tidak elok terhadap Malaysia.

"Kalau kalian mahu berkelakuan begini, kalian akan memperoleh visual yang tidak elok yang pada pandangan saya seluruh dunia akan persalahkan pada pihak berkuasa Malaysia... ini tidak adil," katanya kepada pemberita selepas dikerumuni sekumpulan wakil media, di lobi Hotel Sama-Sama.

    

Hishammuddin yang tiba di hotel itu sekitar pukul 3 petang "diterjah" oleh wakil media asing yang menunggu di lobi sejak pagi.

    

Pesawat Malaysia Airlines  MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

    

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Sementara itu, kapal peninjau pelbagai fungsi HMS Echo milik United Kingdom (UK) kini dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370.

Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan hari ini, berkata pengerahan kapal itu yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia adalah

susulan tawaran bantuan daripada Perdana Menteri Britain David Cameron kepada rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perbualan telefon pada Selasa lepas.

    

"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Australia sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dan telah menawarkan bantuan tambahan," kata jurucakap Kementerian Luar UK dalam kenyataan itu.    

Menurut kenyataan itu, setakat ini UK sudah menghantar dua wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang disokong oleh penasihat Rolls-Royce dan Inmarsat.

    

Beberapa pakar antaranya dari Kementerian Pertahanan serta Jabatan Hidrografik sedang meneliti data laut, cuaca dan satelit bersama-sama pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan pesawat itu, kata kenyataan tersebut.

    

Menurut kenyataan itu sebuah kapal peronda perikanan juga terbabit dalam operasi di sekitar perairan wilayah British di Lautan Hindi, manakala polis UK serta pihak berkuasa berkaitan membantu memeriksa manifes mereka yang dilapor menaiki MH370.

- Bernama