Azmin: Saya memang dipecat
Timbalan presiden PKR Azmin Ali menganggap bahawa beliau sememangnya telah dilucutkan jawatan dari lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) walau Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan tersebut masih tergantung.
Katanya, keputusan berkenaan terkandung dalam minit mesyuarat barisan exco pada 13 November 2013.
“Saya telah dipecat dari PKNS,” katanya.
Beliau memberi keterangan dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) hari ini.
Katanya, laporan minit mesyuarat tersebut menggariskan ulasan menteri besar yang menurutnya jelas menunjukkan beliau telah digugurkan dari jawatan berkenaan.
Jelasnya, menteri besar dalam satu bahagian minit mesyuarat tersebut mengambil maklum bahawa beliau telah “mengembalikan semula kemudahan yang diberikan sebagai ahli lembaga pengarah."
Katanya, Khalid turut menekankan dalam minit mesyuarat tersebut bahawa "seorang lagi calon akan ditentukan kemudian."
"Apabila membaca minit ini, dengan jelas untuk mengugurkan saya," katanya dalam persidangan yang dipengerusikan Speaker DUN Hannah Yeoh.
Azmin turut memaklumkan bahawa beliau telah memulangkan kenderaan rasmi yang digunakan sebagai pengarah PKNS, sebuah kereta jenis Honda CRV, kepada perbadanan tersebut apabila parlimen dibubarkan pada 4 April tahun lalu.
Persidangan berkenaan diadakan ekoran pertikaian yang timbul berhubung penyingkiran Azmin dari jawatan tersebut, dan juga 22 orang kakitangan profesional lain secara mendadak dari syarikat berkaitan kerajaan negeri itu, awal Februari lalu.
Kontroversi pemecatan itu, yang berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Azmin, bermula dengan pemecatan MP Gombak itu dari jawatan PKNS.
Ia semakin meruncing apabila PKNS turut memecat serta merta 19 orang kakitangan PKNS pada 4 Februari.
Hinggakan, Azmin memberi amaran terbuka kepada Khalid supaya tidak lagi menyalahgunakan jentera kerajaan negeri menghukum pesaing politiknya.
Khalid pada 25 Januari lalu memberi kenyataan bahawa PKNS membuat tafsiran salah ke atas keputusan mesyuarat exco, yang menyebabkan Azmin disingkir dari jawatan berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan untuk mendedahkan dokumen tertentu bagi membuktikan kebenaran dalam kes berkenaan, yang sepatutnya dikemukakan dalam persidangan hari ini.

