Anak lelaki tunggal kepada jurukamera Bernama TV Abu Kasim Chik meninggal dunia di Hospital Kajang di sini kira-kira pukul 5 petang, semalam.

Allahyarham Muhammad Rashide, 23, anak kedua daripada empat beradik itu mengalami masalah kesihatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang secara berkala.

Bagaimanapun semalam ketika di rumah bersama ibunya, beliau mengadu sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Kajang.

Abu Kasim yang ditemui di rumah mayat hospital itu malam tadi menjelaskan Muhammad Rashide dijadualkan untuk temu janji selanjutnya di Hospital Serdang bulan hadapan.

Beliau bagaimanapun tidak tahu penyakit yang dihadapi anaknya kerana belum dimaklumkan oleh hospital.

Jenazah dibawa balik ke kediaman Abu Kasim di No 15 Jalan TTS 6/9, Taman Tasik Semenyih dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Lalang, Semenyih dekat Kajang sebelum solat Zohor hari ini.

- Bernama