Makna senyuman-senyuman di Kajang
Sejurus selepas kiraan tidak rasmi PKR yang mendapati kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail lebih kurang jam 8:40 malam, media dimaklumkan Datuk Seri Najib Razak membatalkan kehadiran di sebuah program di Kg Bukit Angkat, Kajang.
Ahli dan pemimpin PKR di bilik gerakan utama mereka di Sg Sekamat semua berwajah gembira.
Mereka mula menyusul bergerak menyertai kumpulan besar yang telah lama berkumpul di Surau Ibnu Sina berhampiran pusat penjumlahan undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi pada hari pengundian Ahad lalu.
Bagaimanapun kegembiraan ini dilihat kurang 'lengkap' sebenarnya kerana tiada sesiapa pun yang menjangka Wan Azizah akan kalah kali ini.
Soalan paling banyak ditanya pada malam itu: "Berapa majoriti kemenangan Kak Wan?"
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang ditemui di bilik gerakan itu pantas berkata majoriti kali ini lebih besar jika dinisbahkan dengan peratusan pengundi yang keluar.
Bagaimanapun kemenangan ini dilihat tidak mencerminkan kesinambungan 'Langkah Kajang' yang mencetuskan kontroversi dan reaksi besar rakyat lebih dua bulan lalu.
Langkah Kajang seperti yang dijelaskan Rafizi 29 Januari lalu adalah 'strategi radikal' untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon, sebagai membuka laluan ke Putrajaya.
Beliau mengaku langkah itu tidak popular tetapi ia sesuatu yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat. Ia demi menjadikan Selangor kubu kuat Pakatan.
Rafizi juga menyamakan Langkah Kajang dengan strategi Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan semasa menjadi Datuk Bandar Istanbul.
Ia juga dibandingkan dengan strategi bekas Datuk Bandar Solo Joko Widodo yang disebut-sebut bakal calon Presiden Indonesia, yang berpindah untuk jadi Gabenor Jakarta.
Bagaimanapun selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara, dan diganti Wan Azizah, makna itu ditukar kepada 'referendum rakyat' di depan kira-kira 10,000 penyokong hadir ke pelancaran 'ala konsert' Reformasi 2.0 di Stadium Kajang, dua hari hari mengundi.
Pola pengundian kaum
Hakikatnya pilihan raya kecil Kajang masih terlekat isu antara kaum walaupun banyak isu peringkat nasional turut dimainkan kedua-kedua pihak, PKR dan BN.
Sepanjang dua bulan tempoh 'berkempen' (termasuk secara tidak rasmi), PKR menganjurkan banyak ceramah perdana dan bergerak di kawasan majoriti Melayu yang gagal dimenangi mereka sebelum ini.
Hasilnya, sokongan kaum itu bertambah dari hanya 41 peratus pada tahun lalu kepada 50 peratus kini – keputusan yang dibanggakan PKR.
Lebih manis apabila PKR mencatat keputusan cemerlang di Daerah Mengundi majoriti Melayu, termasuk menguasai Sg Sekamat dan Taman Delima. Manakala di Sg Kantan dan Batu 10 Cheras, parti itu berjaya mengurangkan kekalahan undi mereka sebelum ini.
BN kali ini dilihat melakukan strategi kempen berbeza. Mereka tahu tidak mampu menarik minat penduduk melalui acara sama. Justeru mereka mengambil pendekatan berbeza dengan melakukan pertemuan kecil-kecilan dengan mensasarkan kumpulan khas di satu-satu kawasan.
Berbeza dengan PKR yang bertemu pengundi kawasan awam, BN melalui Umno banyak beroperasi dari rumah individu, seperti ketua cawangan di kubu-kubu kuat mereka seperti Sg Sekamat, Sg Kantan dan Taman Delima.
Mungkin Umno agak leka mengharapkan konflik dalaman setempat, yang didakwa wujud antara PAS dan PKR akan memberi kelebihan kepada mereka.
Pelbagai laporan mengenai dakwaan kurang kerjasama antara pemimpin kedua-dua parti itu menjadi modal kempen Umno di kawasan majoriti Melayu seperti di Saujana Impian dan Kantan Permai.
Bagaimanapun ia mungkin bukan perkara serius, malah PAS membiarkan PKR 'menjadi ketua' dalam persediaan pilihan raya Kajang kerana ia ditandingi parti itu.
Apapun ia membuktikan betapa jentera PKR berjaya kali ini untuk menembusi dan menaikkan sokongan mereka di kawasan Melayu yang selama ini diterajui PAS.
Cina untuk Cina?
Permainan 'kempen #C4C ' yang dilihat merupakan satu lagi sisi kempen apabila BN mendapat kelebihan dengan meletakkan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun sebagai calon.
Kajang yang secara tradisinya ditandingi calon MCA dan mempunyai lebih 40 peratus pengundi Cina memungkinkan kempen sedemikian dimanipulasi.
MCA sendiri masih berbangga dengan keputusan ini apabila berjaya meningkatkan sokongan kaum Cina sebanyak 7 peratus kepada parti itu.
Di sebalik keputusan itu, Umno pula dikatakan gagal kerana hilang lebih 9 peratus undi kaum Melayu?
Trend pengundian mengikut kaum ini dilihat berterusan daripada kempen parti BERJASA dalam pilihan raya umum tahun lalu yang meletakkan calon Melayu tunggal bagi memberi alternatif kepada pengundi kaum itu.
Dalam pilihan raya 5 Mei itu, BERJASA membuktikan kempennya sedikit sebanyak berkesan setelah memperoleh 1,028 undi walau tanpa banyak berkempen – keadaan yang berbeza sama sekali dengan tiga lagi calon bebas yang hilang wang pertaruhan.
Persaingan dalaman PKR
Sementara itu, ramai mungkin terlupa bahawa perkataan Langkah Kajang diluahkan PKR, dispekulasi kuat sebagai agenda penukaran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Seminggu sebelum Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 27 Januari sebagai ADUN Kajang, terdapat spekulasi bahawa Khalid tidak lagi mendapat mandat daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) .
Malah, pengumuman Khalid untuk bertanding mencabar Azmin sebagai timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti dua bulan lagi dilihat sebagai seiiring dengan strategi Langkah Kajang.
Bagaimanapun, Khalid, Azmin dan Anwar ketika dirakam lensa kamera pada malam kemenangan Ahad lalu menunjukkan reaksi gembira dengan Khalid mempunyai senyuman paling besar.
Khalid dalam kenyataan semalam berkata bakal 'meneruskan' kerja sebagai menteri besar dan mengucapkan tahniah kepada Wan Azizah yang terpilih sebagai ADUN baru Selangor.
Mungkinkah makna senyuman Khalid lebih besar dari Langkah Kajang ini?

