Sarjana Kassim Ahmad mengaku tidak bersalah ke atas dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya hari ini berhubung kenyataan kontroversinya berkaitan hadis Nabi.

Kassim didakwa menghina Islam melalui satu ucapan berhubung perbuatan "mendewa-dewakan nabi Muhammad dalam syahadah" dan juga hujah berhubung definisi "aurat wanita".

Beliau didakwa menyatakan demikian dalam satu seminar dirasmikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 16 Februari lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 7(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam pertuduhan kedua, beliau didakwa mengingkari pihak berkuasa agama kerana membuat ucapan yang memetik kandungan buku yang diharamkan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 9 akta sama menyatakan, Kassim memetik buku 'Hadis: Satu Penilaian Semula' dan 'Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik'.

Menurut pertuduhan berkenaan, buku tersebut telahpun diharamkan melalui Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 8 Februari 1996.

Oleh yang demikian, beliau didakwa mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Majlis Agama Islam atau Mufti melalui fatwa berkenaan, mengikut pertuduhan berkenaan.

Dalam rayuannya, Kassim, 81, memohon agar mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan dan usianya.

"Saya tidak bersalah. Yang arif saya minta tuan memikirkan keadaan kesihatan saya yang sudah 80 tahun.

"Saya hanya bergantung pada tiga orang anak saya," katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Pendakwa Raya Ibrahim Deris di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus.

Umamuddin membenarkan Kassim dilepaskan dengan ikatjamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 7 April untuk sebutan semula kes. 

Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Marina Mahathir dilihat muncul di bangunan mahkamah, kira-kira jam 11.40 pagi selepas pendakwaan untuk menguruskan jaminan Kassim Ahmad.

Turut muncul di bangunan mahkamah ialah pengerusi penganjur seminar, Nik Abdul Aziz Nik Hassan serta beberapa orang ahli jawatankuasa penganjur majlis tersebut.

Kassim, 81, semalam ditahan mengikut peruntukan sama.

Seramai 10 orang penguatkuasa agama terlibat dalam penahanan itu, di kediamannya di Kulim, Kedah,  yang turut diiringi anggota polis tempatan.

Kassim dalam seminar pemikirannya pada 16 Februari turut mencetuskan kontroversi apabila menyamakan ulama dengan "kasta paderi", menolak syahadah kedua dan berpendapat rambut bukan aurat wanita.

Kenyataan itu dikritik meluas pelbagai pihak termasuk parti politik, NGO dan ulama Islam.

Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang' dijalankan selama dua hari di Yayasan Kepimpinan Perdana - yang dinaungi Mahathir.