Majlis Perpaduan Nasional (MPN) yang diterajui PERKASA mengalu-alukan maklum balas daripada NGO dan individu Melayu dan Bumiputera Muslim berkenaan memorandum yang bakal dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Sekretariat MPN Datuk Mat Rabi Abu Samah berkata memorandum bertemakan perpaduan rakyat teras keamanan dan kemakmuran Malaysia ini akan dibentang kepada konvensyen mereka September depan.

"Kita akan menghantar memorandum tersebut kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Mat Rabi yang juga ahli Majlis Tertinggi PERKASA berkata memorandum itu bertujuan menyampaikan perspektif dan pendapat kaum Melayu mengenai hubungan antara kaum yang dilihat semakin bermasalah di negara ini.

Menurut beliau memorandum itu bertujuan memastikan hak Bumiputera dan Melayu Islam dijaga selaras dengan perlembagaan persekutuan yang turun menjaga hak kaum lain di negara ini.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa PERKASA bertanggungjawab memecahkan hubungan antara kaum sebaliknya membenih idea menerusi MPN ini.

"PERKASA dilihat sebagai anti-tesis kepada perpaduan. Saya anggap ini kerana mereka tak faham perjuangan PERKASA. Untuk memastikan hak Bumiputera dan Melayu dijaga, perlu ada keamanan," kata beliau.

MPN yang diumumkan penubuhannya pada 28 Februari lalu turut dianggotai 55 NGO Melayu. Ia diketuai oleh bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.