Dua NGO membidas tindakan tentera siber pro-pembangkang, Red Bean Army (RBA) yang didakwa mereka memperlekehkan usaha kerajaan mencari pesawat MH370 sehingga mewujudkan tanggapan negatif masyarakat dunia dan mencemarkan imej negara

Presiden Pertubuhan Jalinan muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah berkata RBA menjadikan laman sosial sebagai 'senjata' menyalurkan agenda pembohongan terhadap kerajaan maka ia tidak boleh dibiarkan dan perlu dihapuskan, lapor Utusan Malaysia.

"Saya mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan satu unit khas yang berperanan memantau serta menghapuskan 'syaitan siber' seperti RBA ini agar mereka tidak sewenang-wenangnya bertindak mencemarkan imej kerajaan dan negara di laman sosial.

"Tindakan mereka (RBA) yang semakin melampau dikhuatiri akan memberi kesan negatif bukan sahaja terhadap keamanan malah hubungan diplomatik Malaysia dengan negara lain," katanya sepertin dilapor dalam akhbar itu

Laporan itu juga menyebut, Abdul Rani juga menyeru semua pengguna laman sosial supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman RBA, terutamanya golongan muda.

Dalam laporan yang sama juga, Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay pula berkata kredibiliti kerajaan semakin tercemar sekiranya RBA berterusan menyebarkan maklumat palsu sehingga menganggu siasatan pihak berkuasa.

"RBA perlu menyokong usaha kerajaan dan bukannya bertindak memperlekehkan usaha mencari dan menyelamat," katanya.