Dilema Adenan – larang atau tak larang Anwar
ANALISIS Arahan kepada Jabatan Imigresen untuk melarang beberapa pemimpin PKR dan bukan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Sarawak, menimbulkan pertanyaan di kalangan pemerhati.
Mereka yang dilarang memasuki Sarawak Saifuddin Nasution (setiausaha agung), Rafizi Ramli (pengarah strategi), Tian Chua (naib presiden) dan Zuraida Kamaruddin (ketua Wanita).
Saifuddin, Rafizi dan Tian Chua dihalang memasuki Sarawak ketika mahu berkempen untuk calon PKR di Balingian pada 25 Mac lalu. Zuraida mengalami nasib sama dua hari kemudian.
Persoalan yang timbul: Kenapa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebaliknya membenarkan Anwar masuk ke Bumi Kenyalang itu?
Adakah beliau bimbang pengarah Anwar, termasuk di negara Arab dan seluruh dunia? Atau adakah beliau sudah dinasihatkan oleh bekas ketua menteri Tan Sri Taib Mahmud untuk tidak melakukannya?
Pelaburan Score
Taib, yang meletakkan jawatan pada 28 Februari dan memberi laluan kepada Adenan, selama ini membenarkan Anwar memasuki Sarawak.
Ia dilakukan walaupun di mata Taib, Anwar mungkin 'pembawa masalah' untuk politik negeri yang diterajui BN.
Satu lagi persoalan lain, kenapa pula Presiden PERKASA Datuk Ibrhaim Ali dibenarkan berbuat demikian walaupun terpalit dakwaan perkauman?
Ketua PKR Sarawak Baru Bian berkata, sudah jelas bahawa Adenan tidak sanggup melarang Anwar yang mempunyai pengaruh dan sahabat di seluruh dunia.
“Tindak balas antarabangsa terlalu berbahaya buat Sarawak,” kata Baru, dilihat merujuk kepada langkah kerajaan negeri menarik pelaburan asing ke Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),
Sehingga hari ini, kerajaan mendakwa pelaburannya sudah selamat, terutamanya dalam industri berat seperti loji peleburan aluminium.

