Mahkamah di Amerika Syarikat semalam menolak permohonan dari satu firma guaman untuk mendapatkan bukti berhubung kecacatan yang mungkin berlaku ke atas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Hakim mahkamah di Illinois itu menolak permohona Ribbeck Law Chartered dengan alasan, firma berkenaan sebelum ini pernah mengemukakan satu petisyen serupa yang dianggap sebagai “salahlaku”.

Laporan Reuters menyebut, Hakim Cook County, Kathy Flanagan merujuk kepada petisyen firma berkenaan berhubung kejadian pesawat Asiana Airlines yang terhempas di San Francisco tahun lalu.

Flanagan memberi amaran kepada kepada Ribbeck Law Chartered sebelum ini untuk mengenakan sekatan atas tindakan itu.

"Walaupun dengan arahan ini, firma yang sama meneruskan juga tindakan memfailkan petisyen segera itu, walaupun mengetahui tiada asas untuk berbuat demikian,” kata Flanagan.

“Sekiranya firma ini memutuskan untuk berbuat demikian, mahkamah akan mengenakan sekatan melalui usulnya sendiri,” katanya seperti dipetik agensi berita itu.

Bapa saudara kepada salah seorang penumpang penerbangan tersebut memfailkan petisyen untuk mendapatkan bahan bukti dalam kes kemalangan tersebut melalui firma berkenaan minggu lalu.

Petisyen untuk memperoleh bukti berkenaan difailkan ke atas Boeing Co dan Malaysia Airlines yang mengendali penerbangan itu.

Firma itu mewakili Januari Siregar, bapa saudara kepada Firman Chandra Siregar – salah seorang daripada tujuh warga Indonesia yang menaiki penerbangan tersebut.

[Baca berita penuh]