Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Misteri kehilangan pesawat MH370 turut mengheret perbincangan mengenai kebebasan dan tanggungjawab media.

Antara dakwaan yang dapat kita baca dan dengar ialah kawalan atau batasan maklumat, spekulasi dan salah lapor.

Kebetulan, peristiwa ini berlaku semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Kajang.

Maka, isu kebebasan media turut menjadi bahan kempen, terutama selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melarang stesen radio BFM menyiarkan wawancaranya dengan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika mengulas kecaman ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ( kiri ) menyatakan media Malaysia sudah semakin bebas sebaliknya kebebasan media dikekang oleh ancaman saman yang banyak dilakukan oleh pihak pembangkang dan halangan kepada pemberita tertentu untuk membuat laporan.

Sebelum ini, kerajaan telah menggantung sementara penerbitan akhbar berbahasa Inggeris, The Heat ; menarik balik permit penerbitan akhbar kepada FZ Daily serta menolak permohonan permit penerbitan oleh Malaysiakini .

Melalui jawapan bertulis yang diberikan di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata permit penerbitan akhbar FZ Daily ditarik balik dan permohonan Malaysiakini ditolak kerana pihak kerajaan mahu mengawal bilangan akhbar.

Ia juga menurutnya bagi mengelak kekeliruan orang ramai dan kecenderungan akhbar menerbitkan berita sensasi bagi menarik pembaca.

Dalam Forum CEO 2013, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir menyatakan beliau akan menapis kebebasan Internet sekiranya kembali berkuasa. Ia bukan sahaja memberi gambaran mengenai cara kepimpinan beliau selama 22 tahun, tetapi bercanggah dengan kritikan beliau kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana didakwa cuba menyekat kebebasan beliau bersuara.

Semua perkembangan di atas sebenarnya memberi gambaran besar kebebasan media di Malaysia.

Kebebasan media & kepentingannya

Apakah kebebasan media dan mengapa ia penting? Persoalan ini mungkin asas tetapi perlu diketahui. Dari segi konsepnya, kebebasan media bermaksud hak untuk menerbitkan bahan media (untuk dibaca, didengar atau ditonton) tanpa kekangan kerajaan dan hanya tertakluk kepada undang-undang berkaitan fitnah, kelucahan, hasutan dan sebagainya.

Definisi ini jelas menolak hujah banyak pihak yang menggambarkan seolah-olah tidak ada batas kepada kebebasan. Kebebasan sentiasa ada batasnya tetapi ia tidak boleh dilakukan secara arbitrari.

Tindakan terhadap media hanya boleh dilakukan sekiranya jelas fitnah, kelucahan, hasutan dan sebagainya telah dilakukan.

Berdasarkan Indeks Kebebasan Media yang dibentuk Wartawan Tanpa Sempadan , kebebasan media diukur berdasarkan:

(1) Tahap kepelbagaian pandangan.

(2) Tahap di mana media bebas beroperasi di luar pengaruh pihak berkuasa.

(3) Tahap tapisan dalaman.

(4) Sejauh mana keberkesanan dan ciri kerangka perundangan menjamin kebebasan.

(5) Tahap ketelusan institusi dan prosedur dalam penerbitan berita.

(6) Kualiti infrastruktur yang menyokong penerbitan berita.

Freedom House pula mengukur kebebasan media berdasarkan:

(1) Pengaruh undang-undang terhadap kandungan media dan kecenderungan ahli politik menggunakannya untuk menyekat operasi media.

(2) Tahap kawalan politik terhadap kandungan media seperti pemilikan, tapisan, kepelbagaian maklumat, akses kepada maklumat dan kebebasan wartawan melapor.

(3) Struktur pemilikan media, kos bagi media, impak rasuah kepada kandungan media dan sumbangan kewangan oleh pihak tertentu.

Maklumat lengkap mengenai kedua-dua indeks ini boleh dilihat di laman web rasmi mereka. Umumnya, ia munasabah. Kedua-dua indeks ini menunjukkan bahawa media Malaysia dikategorikan sebagai tidak bebas.

Kebebasan media penting kerana mempunyai kaitan intim dengan hak kebebasan asasi - untuk tahu, percaya dan bersuara. Kawalan media dan maklumat hanya akan menguntungkan sekumpulan kecil pihak sebaliknya kebebasan media memberi peluang kebaikan kepada semua.

Tanpa kebebasan media, ketinggian dan kedaulatan undang-undang akan dipengaruhi secara negatif. Kebebasan media boleh meningkatkan ketelusan.

Tanpa kebebasan media, peluang untuk melakukan jenayah dan rasuah lebih terbuka.

Kebebasan media juga boleh meningkatkan kecekapan dan tanggungjawab kerajaan serta masyarakat.

Jika orang ramai mempunyai maklumat, mereka akan dapat membuat banyak keputusan dengan lebih baik dan kerajaan boleh mengetahui apakah keutamaan yang perlu ditangani.

Ruang penambahbaikan

Tidak perlulah ditunjukkan undang-undang mana atau jenis kekangan bagaimana ada pada media kita. Ia telah lama diperjuangkan oleh aktivis media.

Ia juga boleh diketahui berdasarkan ciri-ciri yang diukur dalam menentukan kebebasan media sesebuah negara.

Beberapa prinsip penambahbaikan untuk kebebasan media wajar dilaksanakan, antaranya:

  1. Perlembagaan dan undang-undang tidak patut menghadkan kandungan media kerana faktor sensitiviti atau keistimewaan kedudukan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa patut kebal daripada perlembagaan dan undang-undang.

 

  • Akta yang membenarkan akses kepada maklumat rasmi perlu digubal. Ia dapat mengurangkan fitnah di samping memberi peluang untuk orang ramai membetulkan sebarang salah faham.
  •  

  • Pemberi maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa mesti dilindungi daripada sebarang bentuk tekanan atau ancaman. Perlindungan terhadap pemberi maklumat akan lebih berkesan jika akses kepada maklumat dibebaskan.
  •  

  • Kawalan terhadap media tidak boleh dibuat secara arbitrari. Syarat permohonan permit penerbitan media perlu dihapuskan. Setiap media hanya perlu dikenakan syarat minima iaitu menyatakan nama penerbit dan pihak yang bertanggungjawab bagi sesuatu yang diterbitkan.
  •  

  • Penaja atau pemberi sumbangan kepada media (bukan kerajaan) mesti dilindungi daripada sebarang bentuk tekanan atau ancaman.
  •  

  • Kerajaan, mahkamah, peguam negara dan ahli politik perlu menggalakkan kebebasan media secara bertanggungjawab dalam penerbitan dan kenyataan mereka dan bukan lebih banyak bercakap mengenai salah guna kebebasan media. Komitmen ini mestilah ditunjukkan dalam kebenaran untuk wartawan menjalankan tugas untuk melapor.
  •  

  • Media yang mesti memberi hak untuk menjawab atau menjelaskan kepada pihak-pihak yang terdakwa atau didakwa dalam laporannya. Media juga mesti membetulkan dengan segera kesilapan selepas diakui atau/dan terbukti laporan sebelumnya salah.
  • Kebebasan media adalah tanggungjawab kita semua.


    AMIN AHMAD ialah Pengarah Institut Kajian Kepimpinan dan Pembangunan (LEAD - www.lead.my).

    ADS