MB: Mahu kembali Bible, tulis pada AG
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Persatuan Bible Malaysia (BSM) supaya menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendapatkan kembali Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas sebelum ini.
Khalid (
kiri
) berkata walaupun laporan dan dakwaan kes tersebut masih tiada, lebih baik PSM menulis terus bagi menunjukkan keinginan mereka mendapatkan semua kitab yang dirampas
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Januari lalu.
"Kita cadangkan sebab kita tahu dalam keadaan ini lebih baik tulis surat.
"Itu perlu untuk menunjukkan keinginan PBM mendapatkan semula tersebut," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco hari ini.
Pada 2 Januari lalu, JAIS merampas 321 Bible versi bahasa Melayu dan sepuluh versi bahasa Iban.
Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut kes tersebut.
Takziah atas pemergian Irene
Sementara itu Khalid turut meluahkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah ekoran kematian aktivis mendiang Irene Fernandez Isnin lalu di Hospital Serdang akibat komplikasi jantung.
Menurut Khalid, kematian Irene amat dirasai oleh rakyat Malaysia dan Selangor kerana jasanya memperjuangkan hak dan keadilan untuk kaum wanita di samping kelantangan membangkitkan isu-isu antarabangsa khususnya dalam isu pemerdagangan manusia.
"Mendiang turut menyumbang bakti kepada kerajaan Selangor sebagai penasihat kepada Skim Mikrokredit Wanita Ladang atau WALA yang bertujuan meningkatkan pendapatan kaum wanita pekerja ladang," katanya.

