Yussibnosh angkat sumpah ADUN Balingian
Yussibnosh Balo hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingian di hadapan Speaker Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Majlis disaksikan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.
Turut hadir isteri Adenan, Puan Sri Dato' Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan beberapa menteri dan timbalan menteri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Yussibnosh, 48, seorang bekas pegawai daerah memperoleh 8,194 undi dalam pilihan raya kecil Balingian pada 29 Mac dengan majoriti 6,911, berbanding calon PKR Abdul Jalil Bujang yang mendapat 1,283 undi.
Pilihan raya kecil (PRK) DUN Balingian diadakan ekoran perletakan jawatan bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Adun Balingian dan beliau kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Pada tahun 2011, Taib berjaya mengekalkan kerusi DUN Balingian dengan majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan Suriati Abdullah daripada PKR dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin.
Sementara itu, Yussibnosh berikrar untuk memenuhi semua janji yang beliau katakan semasa pilihan raya kecil itu bulan lepas.
"Mula-mula saya akan kembali ke kawasan saya untuk berjumpa pengundi dan berterima kasih atas sokongan mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis mengangkat sumpah sebagai ADUN Balingian di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar yang diadakan di Kompleks DUN hari ini.
Yussibnosh berkata beliau akan menyusun semua permintaan pengundi semasa kempen pilihan raya itu dan mendahulukan yang paling penting.
"Keutamaan saya ialah pendidikan, infrastruktur dan komunikasi di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata kemudahan pendidikan yang lebih baik merupakan perkara mustahak memandangkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji menyediakan peruntukan RM79 juta untuk membina Sekolah Menengah Kebangsaan Balingian dan membina Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian di Mukah dalam kempennya.
Dalam kempen itu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof juga berkata lebih RM660 juta projek diluluskan di kawasan Parlimen Mukah dalam tempoh tiga tahun lepas, termasuk kerusi DUN Balingian dan Dalat.
Fadillah juga berkata RM216.68 juta dibelanjakan untuk projek jalan raya sepanjang 944.29km termasuk pembinaan jalan penghubung dan jambatan serta sebanyak RM122.43 juta dibelanjakan untuk menyediakan air bersih.
Bekalan air paip kini dapat dinikmati hampir 60,000 orang manakala 2,000 orang kini mempunyai akses kepada bekalan alternatif, katanya.
Projek lain yang sedang dijalankan termasuk RM60 juta untuk menyediakan bekalan elektrik kepada 285 komuniti, rumah panjang dan kampung-kampung; RM48 juta untuk dana pendidikan; RM35 juta untuk projek membasmi kemiskinan dan RM180 juta bagi bantuan pertanian.
- Bernama

