'Tiada peruntukan padam kenyataan dari Hansard'
Tidak ada sebarang peruntukan parlimen untuk memadamkan kenyataan kontroversi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Wan Jaafar berkaitan rogol bawah umur dari Hansard, kata MP PKR Padang Serai, N Surendran.
Surendran yang juga seorang peguam dan ahli jawatankuasa peraturan
tetap parlimen, berkata sesuatu kenyataan hanya boleh dipadamkan dari Hansard jika "ada kesilapan".
"Dalam kes ini, Wan Junaidi tidak mengatakan ia satu kesilapan. Beliau hanya mahu apa yang dikatakannya dipadamkan. Di Parlimen, apa yang anda kata kekal dalam Hansard," kata Surendran (kiri) dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, adalah "membingungkan" apabila Speaker Pandikar Amin Mulia bersetuju dengan permintaan Wan Junaidi itu dan melabelkan permintaan itu sendiri sebagai "tidak masuk akal" .
Wan Junaidi dilanda kontroversi pada 18 Mac apabila beliau berkata bukan Melayu kurang sensitif terhadap rogol berbanding dengan orang Melayu, ketikak mahu menjustifikasikan mengapa Melayu membentuk peratusan yang besar di kalangan mereka yang melaporkan kes rogol di bawah umur.
Beliau bersetuju bahawa kenyataannya itu boleh menyinggung perasaan walaupun enggan memohon maaf dan sebaliknya meminta kenyataan yang dipadam dari Hansard Parlimen.
Menyentuh perkara itu, MP DAP Ipoh Barat M Kulasegaran (kanan),
yang turut menganggotai jawatankuasa yang sama dengan Surendran berkata ia terpakai di mahkamah, dan tidak di Parlimen.
"Dari apa yang saya faham, tidak ada perkara seperti memadamkan Hansard di bawah sistem parlimen Westminster," katanya.
"Tetapi terdapat satu 'precedence' (duluan) pada tahun 1989 apabila Karpal Singh (MP Bukit Gelugor) mendapati beberapa kenyataan yang dibuatnya mengenai Raja-Raja dikeluarkan dari Hansard," kata Kulasegaran.
MP Klang Charles Santiago pula berkata beliau tidak pernah mendengar kenyataan dipadam dari Hansard Parlimen dan menyifatkannya sebagai langkah "yang tidak pernah berlaku sebelum ini".

