Exco Agama Islam Selangor Sallehin Mukhyi berkata kerajaan negeri hanya akan bertemu dengan pihak peguam negara (AG) selepas siasatan isu rampasan Bible bahasa Melayu selesai.

Sallehin ( kanan ) berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam proses kajian bagi mengesahkan sama ada Bible yang menggunakan kalimah Allah itu melanggar akta percetakan atau tidak.

"Isunya sekarang siasatan belum selesai sepenuhnya. Saya fikir kalau isu dah selesai barulah pihak MB boleh berjumpa AG untuk bincang cara pemulangan Bible ini," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Serdang dari DAP Ong Kian Ming sebelum ini menolak cadangan Khalid agar Persatuan Bible Malaysia (BSM) menulis sendiri surat kepada AG untuk mendapatkan kembali 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Januari lalu.

Sementara itu MCA hari ini mempertikaikan sepucuk surat yang ditulis exco Selangor Elizabeth Wong kepada AG untuk mengembalikan Bible tersebut.

Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ng Chok Sin dalam kenyataan hari ini berkata surat tersebut harus ditulis oleh exco bertanggungjawab iaitu Sallehin sendiri.