Kerajaan berkata ketibaan dua Panda China yang dirancang Selasa depan telah ditangguhkan kerana "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan ".

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengumumkan hari ini bahawa majlis menerima panda gergasi itu akan ditangguhkan "ke satu tarikh yang akan datang".

Ketika dihubungi, Timbalan Menterinya, Datuk James Dawos Mamit mengesahkan bahawa kelewatan itu adalah disebabkan oleh usaha berterusan mencari pesawat MH370 .

"Kami telah mengadakan mesyuarat petang ini.... pertemuan antara kementerian kami dengan duta China.

"Saya mempengerusikan mesyuarat itu, dan duta besar itu berkata kerajaannya tidak mahu panda itu datang sekarang kerana insiden MH370 ," kata Mamit.

Beliau menambah namun begitu mereka akan tiba pada pertengahan bulan Mei "sebelum PM melawat China".

Minggu lepas kerajaan tetap menyatakan bahawa kemarahan rakyat China terhadap cara kerajaan Malaysia mengendalikan kehilangan MH370 itu tidak memburuk hubungan kedua-dua negara.

Panda itu dijadual tiba dari Chengdu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pagi 15 April.

Malaysia telah menghantar lapan pegawai Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar (Perhilitan) dan empat pakar veterinar untuk menjalani latihan di China bagi menjaga haiwan di rumah baru mereka di sini.

 

[Baca berita penuh]