Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BN sekali lagi membangkitkan isu kerugian berterusan RM30 juta Universiti Selangor (Unisel) selepas mendakwa gagal mendapat penjelasan memuaskan daripada exco pendidikan Halimah Ali.

"Dalam kajian saya lima tahun berturut-turut, berdasarkan laporan pada tahun 2013, Unisel mengalami kerugian RM30 juta.

"Namun, sehingga kini tiada jawapan sempurna daripada jawapan Unisel," kata Budiman Mohd Zuhdi (BN-Sungai Panjang).

Dalam perbahasan dua hari lepas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, isu yang sama telah dibangkitkan.

Bagaimanapun, Halimah dalam perbahasannya menjelaskan kerugian itu ekoran pengambilan pelajaran terhad di dua buah kampus, Shah Alam dan Bestari Jaya berikutan beberapa masalah.

Katanya, kapasiti menampung bilangan pelajar terhad di kampus Shah Alam menyebabkan universiti kerajaan negeri itu tidak dapat menerima permohonan begitu ramai pelajar yang berminat memasukinya.

Manakala, kampus Bestari Jaya pula mengalami masalah kerosakan sistem kumbahan dan memerlukan banyak penyelenggaraaan di asrama yang terletak dalam kawasan kampus menyebabkan pelajar diberikan tempat tinggal yang jauh dari kampus, kata Halimah.

Masalah sistem kumbahan

Sehubungan itu, ADUN Selat Kelang itu berkata keadaan tersebut menyebabkan Unisel tidak menerima banyak permohonan pelajar yang mendaftar memasuki kampus itu.

"Kampus Bistari Jaya mempunyai masalah sistem kumbahan bagi proses penyelenggaraan sahaja telah menelan berjuta ringgit keadaan ini tidak selesa untuk pelajar.

"Jadi apabila asrama pelajar jauh daripada kampus sudah tentunya ada keresahan daripada ibu bapa pelajar sehingga menyebabkan pendaftaran pelajar menurun.

"Manakala di Kampus Shah Alam kita bukan tiada pelajar hendak mendaftar sebaliknya kita yang hadkan pendaftaran kerana sudah penuh," jelasnya dalam perbahasan menjawab soalan Budiman.

Pada 2012, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pernah mendedahkan laporan audit kewangan Unisel yang menunjukkan universiti itu mengalami kerugian selepas cukai kira-kira RM54.8 juta bagi tempoh tiga tahun sejak Pakatan memerintah Selangor pada 2008.

Berdasarkan salinan Laporan Audit Unisel bagi 2009-2010, kampus itu menunjukkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.63 juta pada 2008, RM 13.55 juta (2009) dan RM39.68 juta pada 2010.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS