Ketua Pemuda GERAKAN Tan Keng Liang berkata Parlimen perlu menggubal undang-undang untuk menghalang “bidang kuasa bertindih” di antara mahkamah sivil dan syariah berhubung isu penukaran agama dan hak penjagaan anak.

"Undang-undang perlu jelas untuk memastikan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa (untuk memutuskan mengenai penukaran agama) kanak-kanak bawah umur tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Mahkamah Syariah juga tidak boleh mempunyai bidang kuasa untuk memberi hak jagaan ke atas anak bawah umur yang ditukar agama tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Oleh yang demikian, Pemuda GERAKAN menggesa Parlimen menggubal undang-undang untuk menyingkirkan bidang kuasa bertindih di antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah berhubung hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa BN dan Pakatan Rakyat untuk “bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut”.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerima kecaman demi kecaman kerana enggan mengambil tindakan ke atas lelaki yang didakwa menculik anak dalam kes di Seremban.

Lelaki tersebut N Viran (kini Izwan Abdullah) mengabaikan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak jagaan kepada bekas isterinya S Deepa.

Khalid antara lainnya menerima kritikan dari dua orang bekas menteri hal ehwal undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Seri Nazri Aziz (kini menteri pelancongan).

Khalid memberi alasan, terdapat “dua perintah mahkamah” berhubung kes anak-anak S Deepa, yang didakwa ditukar agama kepada Islam tanpa kebenaran wanita tersebut.

[Baca berita penuh]