Australia siasat objek ditemui di Augusta
Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat sama ada objek yang ditemui di pesisir pantai berhampiran Augusta di negara itu mempunyai hubung kait dengan pesawat MH370 yang hilang.
Ditanya tentang perkembangan baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) tentangnya.
Namun beliau menegaskan ia masih belum disahkan mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.
Beliau menyifatkan objek itu berupa "kepingan plastik".
Awal hari ini, Pusat Koordinasi Bersama Agensi (JACC) berkata polis Australia Barat menemui objek itu kira-kira 10 kilometer dari bahagian timur Augusta.
"ATSB sedang menyiasat gambar barang itu untuk menentukan lebih lanjut jika analisis diperlukan dan jika ada sebarang kaitan dengan pencarian pesawat MH370 yang hilang," kata ATSB.
Portal atas talian Perth Now memetik penyampai Nine News , yang mengumumkan bahawa terdapat tiga objek, termasuklah satu daripadanya sepanjang sebuah kereta dengan "pasak yang jelas".

