Polis tahan 3 di flashmob anti-GST
Polis menahan tiga orang aktivis yang menyertai satu flashmob di Kota Kinabalu hari ini bagi membantah penguatkuasaan akta cukai dan perkhidmatan (GST), menurut NGO hak asasi Suaram.
Sumber NGO tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa polis menahan tiga aktivis tersebut mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA), yang didakwa tidak mengikut perlembagaan oleh mahkamah.
Menurut Suaram, tiga individu terbabit ialah pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Sabah Mohd Fathinie Daiman, jurucakap Gabungan Anak Muda Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) Khairuddin Daud dan seorang aktivis dari NGO sama Firman Firdaus
Mereka merupakan antara 30 orang yang sedang protes 'flash-mob' menentang pelaksanaan GST di Jalan Gaya, Kota Kinabalu untuk membantah pelaksanaan GST, yang diluluskan di Parlimen bulan ini dan akan berkuatkuasa pada 1 April 2015.
Seksyen 9(5) APA memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 sekiranya penganjur gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.
Penyelaras Suaram Ahmad Syukri Ab Razab memberitahu Malaysiakini, polis sebelum itu cuba mengalang flashmob itu daripada berlangsung kerana penganjur tidak memberi notis 10 hari,
Polis kemudian memenuhi permintaan penganjur untuk mengadakan bantahan selama lima minit, katanya.
“Bagaimanapun, sebelum tempoh lima minit itu tamat, tiga orang aktivis tersebut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika dihubungi, Ahmad Syukri mengesahkan bahawa polis membangkitkan undang-undang yang tidak mengikut perlembagaan, dan kemudiannya menyebut bahawa penahanan dibuat mengikut Akta Hasutan 1948 selepas aktivis tersebut tiba di balai polis Karamunsing.
“Polis sebut Akta Perhimpunan Aman di lokasi flashmob tetapi selepas menahan tiga orang aktivis dan membawa mereka ke balai polis, mereka bertukar fikiran dan berkata mereka menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan kerana ucapan (para aktivis terbabit).”
Ahmad Syukri mengutuk penahanan berkenaan sebagai pelanggaran hak kebebasan berhimpun dan bereksperis yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

