S'gor ulangi jaminan air lombong selamat
Kerajaan Selangor sekali lagi mengulangi bahawa air lombong yang dipamkan ke Empangan Sungai Selangor selamat digunakan, kata Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi.
Beliau berkata ujian berkaitan sentiasa dilakukan dan akan mendedahkan kandungan kimia kepada awam bagi membuktikan hal itu.
"Sampel analisis (air lombong) dibuat selalu.
“Sekiranya tak selamat kita maklumkan tak selamat, tapi setakat ini ujian yang dilakukan tunjukkan ia selamat," kata beliau dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Hari ini anggota parlimen Klang Charles Santiago meminta Selangor mendedahkan kandungan air lombong tersebut selepas timbul beberapa kebimbangan mengenai keselamatannya.
Sebelum ini Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata, langkah Selangor mendapatkan bekalan air mentah dari bekas lombong tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan penyakit kulit.
Dr Zaini berkata, kajian sebelum ini mendapati air bekas lombong tidak bermasalah jika diambil pada bahagian permukaan tetapi jika disedut hingga ke dasar, bahan logam berat akan turut disedut sekali.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bagaimanapun menepis dakwaan itu berdasarkan kaedah pensampelan yang dibuat oleh Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.

