Empat NGO membuat laporan polis terhadap penganjur perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang merancang untuk berarak dari menara KLCC ke Dataran Merdeka esok.

Laporan polis itu dibuat oleh Persatuan Peruncit Jalan Tuanku Abdul Rahman (J- Tarra), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kelab Wartawan Muda Malaysia dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia membuat laporan tersebut untuk menghalang penganjur meneruskan rancangan mereka, lapor The Star .

Menurut Presiden J-Tarra Datuk V.K. Liew perhimpunan besar-besaran itu akan memberikan kesan negatif ke atas peruncit di sepanjang jalan dan kawasan komersial sekitar bandar Kuala Lumpur.

"Penutupan jalan dan kesesakan lalu lintas akan menyukarkan orang ramai membeli-belah di kawasan-kawasan perarakan penyokong perhimpunan.

"Daripada pengalaman lepas, penunjuk perasaan cenderung bertindak berbahaya" katanya seperti dipetik daripada laporan The Star.

Beliau juga menyebut demontrasi itu memberikan imej buruk kepada pelancong yang menginap di  kawasan penginapan sekitar laluan perarakan penyokong perhimpunan.

Sementara itu, jurucakap PPIM Mohd Mustaffa Hamzah berpendapat demonstrasi itu akan memberi kesan terhadap perniagaan peniaga kecil dan pemandu teksi.

"Provokasi oleh pihak tertentu mungkin menyebabkan konfrontasi antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan,” katanya.

Presiden Kelab Wartawan Muda Dzulkarnain Taib pula dalam laporan tersebut berkata penganjur sepatutnya menyalurkan bantahan kepada jawatankuasa untuk memantau pelaksanaan GST.

"Kenapa tidak pihak berkenaan menyuarakan pandangan mereka kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan GST?

"Ia seolah-olah menujukkan mereka menggunakan isu ini untuk bertindak menentang kerajaan, tanpa maklumat yang cukup berhubung perkara itu," katanya.