Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penamatan catuan air adalah kerana desakan parti beliau ataupun ekoran kempen pemilihan parti.

Sebaliknya keputusan itu dibuat bersama pihak yang berkepentingan dalam industri air negeri demi kebaikan rakyat Selangor.

"Kalau saya nak buat (hentikan) catuan untuk pemilihan, saya dah hentikan awal-awal," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Semalam ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan meminta agar Khalid menghentikan catuan air negeri kerana paras empangan Sungai Selangor telah melebihi tahap kritikal.

Bagaimanapun Khalid dengan jelas menyatakan keputusan itu bukan disebabkan tekanan dari penasihat ekonomi Selangor itu.

"Ini bukan arahan Anwar.

"Tak ada kena mengena dengan pemilihan PKR, keputusan ini dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Negara) LUAS, JPS, dan KSSB," katanya.

Khalid juga tidak mahu mengulas mengenai pemilihan parti yang sedang berlangsung tatkala ini.

Khalid mencabar penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali dan Setiausaha Agung parti itu Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti yang bermula minggu lalu dan bakal berakhir 12 Jun depan.