Surat ROS tamatkan krisis pendaftaran SUPP
Krisis kepimpinan yang melanda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sejak tiga tahun lalu, yang mengancam pendaftarannya, kini telah berakhir ekoran surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang puas hati dengan jawapan parti terhadap surat tunjuk sebab.
Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin berkata, pihaknya menerima dua pucuk surat dari ROS - satu memansuhkan pembatalan cawangan Bekenu dan Piasau dan sepucuk lagi surat ROS berpuas hati dengan jawapan parti itu terhadap surat tunjuk sebab.
Kedua-dua surat dari Kementerian Dalam Negeri itu telah diterima semalam.
Surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada SUPP berikutan aduan puak
yang diketuai Pengerusi SUPP Sibu Wong Soon Koh (kiri) bahawa pemilihan cawangan pada Disember 2011 penuh dengan "penyelewengan".
Pemilihan di peringkat cawangan memilih perwakilan ke persidangan parti yang diadakan tiga tahun sekali (TDC), yang seterusnya memilih presiden dan jawatankuasa pusat (CC), yang merupakan badan tertinggi pembuat dasar parti.
Wong dan puaknya yang terdiri daripada lima ADUN - Ranum Minda (Opar), Jerip Susil (Bengoh), Lee Kim Shin (Senadin), Francis Harden (Simanggang) dan Johnichal Rayong (Engkilili) - memulaukan TDC kerana didakwa berlaku penyelewengan dalam pemilihan parti.
Wong sendiri, yang merupakan ADUN Bawang Assan, pula akan mencabar Chin untuk jawatan tertinggi parti itu.
Chin berkata: "ROS bersetuju untuk menerima penjelasan kita dan oleh itu, ROS memutuskan untuk tidak meneruskan pembatalan pendaftaran parti.
"Ekoran selesainya masalah tersebut, maka laluan kini sudah terbuka untuk mengadakan TDC akhir tahun ini seperti yang dirancang," katanya.

