Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) membidas tindakan segelintir sekumpulan peserta perhimpunan bantah GST menyerang jurufoto media di Dataran Merdeka Kuala Lumpur hari ini.

Setiausaha Agung MPPA, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz berkata, dalam kejadian yang berlaku selepas perhimpunan bersurai, sekumpulan anak muda bertopeng berpakaian serba hitam cuba memprovokasi sekumpulan jurufoto yang membuat liputan dengan kata-kata kesat dan isyarat lucah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, jurufoto Malaysia Focus, Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk manakala jurufoto Malaysia Reseved, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu dalam kejadian tersebut.    

"Menurut Sharil Amin semasa kejadian beliau ternampak sekepul asap yang dinyalakan dari suar oleh kumpulan berkenaan.

"Semasa menghampiri mereka menghambur kata-kata kesat seterusnya adengan kekecohan mula berlaku.    

"MPPA memandang serius kejadian ini kerana perhimpunan ini adalah perhimpunan aman dan di bawah seliaan permit pihak berkuasa. Seharusnya tiada kekecohan tercetus.

"Kami kesal dengan segelintir kumpulan pemuda yang masih bertindak liar dengan menyerang jurufoto media bertugas" jelas Mohammad Naim Firdaus.

Sehubungan itu, katanya, MPPA bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan akan mempertimbangkan ke pihak peguam

kerana bukti bergambar wujud dalam kejadian tersebut.