Jurukamera dikasari semalam buat laporan polis
Pihak polis menerima laporan daripada tiga jurukamera yang dikasari peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad (bawah) berkata mereka membuat laporan petang semalam yang mendakwa ia dilakukan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), lapor Bernama.
"Insiden disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat," katanya ketika dihubungi agensi berita nasional .
Dalam kejadian ketika perhimpunan mula bersurai sekitar 4.30 petang itu, dua daripada petugas media berkenaan didakwa ditumbuk dan disepak sementara seorang lagi terkena balingan kayu.
Jurukamera Xinhua News Agency , Mohd Zul Iskanda Mohd Hanafiah ditendang dan terkena balingan kayu sementara jurufoto Focus Malaysia , Sharil Amin Abdul Rahim ditumbuk dan disepak.
Jurufoto Malaysian Reserved Hafzi Mohamad juga terkena balingan kayu.
SAMM: Itu bukan kami
Sementara itu, SAMM Kelantan dalam kenyataannya menafikan terdapat pergaduhan antara NGO itu dan Unit Amal PAS seperti disebarkan sebelum ini.
“Saya menyeru pihak yang memainkan sentimen ini menghentikan dengan segera kerana SAMM dengan PAS dan Unit Amal sering bekerjasama dalam hampir kesemua program untuk menumbangkan kerajaan yang zalim pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Mereka menjelaskan, tanggapan itu timbul kerana anggota SAMM kebetulannya berada di tempat kejadian berlaku dan memakai baju hitam seperti pihak yang didakwa.

