Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sebagai detik yang penting bagi negara apabila penerbangan pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam.

    

"Pada 12.05 pagi, penerbangan sulung mendarat di #KLIA2. Satu detik yang sangat penting bagi Malaysia!," kata perdana menteri dalam mesej Twitter beliau semalam.

    

Lapangan terbang KLIA2, terminal tambang rendah terbesar di dunia dengan kemudahan bertaraf antarabangsa bagi syarikat penerbangan tambang rendah, memulakan operasinya semalam dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu pada jam 12.05 pagi.

    

Pesawat pertama berlepas dari lapangan terbang itu ialah Cebu Pacific Airways (5J502) ke Manila kira-kira 3.15 pagi ini.

    

Operasi di terminal KLIA2 bermula dengan lancar dengan 42 penerbangan dan kira-kira 6,300 penumpang yang tiba dan berlepas sehingga pukul 5 petang semalam.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata syarikat penerbangan yang telah memulakan operasi di klia2 ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir.

    

Daripada 42 penerbangan itu, 28 ialah daripada Malindo Air, Lion Air dan TigerAir (enam) dan Cebu Pacific (dua), kata pengendali lapangan terbang itu.

    

AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia Zest akan memulakan operasi di klia2 mulai 9 Mei.  

    

Malaysia Airports berkata para penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing lebih awal bagi mengesahkan butiran terperinci

penerbangan mereka, terutamanya terminal berlepas dan ketibaan bagi mengelakkan sebarang masalah.

    

Para penumpang juga dinasihatkan membuat pengurusan masa yang sebaiknya bagi memastikan mereka tiba di terminal tepat pada masa bagi penerbangan.

    

- Bernama