Penyandang jawatan timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata beliau menentang sebarang penipuan dalam pemilihan parti itu dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.

Azmin merujuk kepada tindakan jawatankuasa pemilihan pusat parti itu menggantung Cabang Batang Sadong di Sarawak baru-baru ini ekoran aduan berlaku penipuan dalam pemilihan minggu lepas.

Katanya, apabila jawatankuasa pemilihan menerima aduan, siasatan dijalankan segera dan tindakan pantas diambil, termasuk terhadap pegawai pemilihan.

Azmin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 ahli parti itu di Seberang Jaya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Johari Abdul sebelum ini berkata terdapat bukti kukuh untuk membuktikan berlaku penipuan, dan mendedahkan bahawa seorang pegawai pemilihan telah "digantung" ekoran dakwaan berlaku manipulasi undi membabitkan soerang calon.

Bagaimanapun, Johari enggan mendedahkan calon yang didakwa terbabit.

Aduan telah dibuat oleh seorang ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin terhadap Azmin yang didakwanya terbabit dalam memanipulasi undi di Cabang Batang Sadong dan menggesa supaya pencalonan Azmin dibatalkan.  

Apabila ditanya, Azmin enggan membuat spekulasi sama ada terdapat konspirasi untuk menyingkirnya daripada persaingan untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Azmin, seorang pemimpin veteran PKR sejak 1999 apabila parti itu ditubuhkan, berdepan dengan pencabar utamanya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sehingga ini, Azmin telah memperolehi 5,111 undi, mendahulu Khalid (2,288 undi) dan Saifuddin (2,322 undi).

Azmin berkata, ahli parti telah memberinya sokongan padu mereka kepadanya berdasarkan rekod prestasinya dan khidmatnya kepada parti sejak 15 tahun lalu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gombak berkata sebarang percubaan untuk menghakis keyakinan terhadap kemampuannya, pasti akan ditolak oleh ahli dan menambah bahawa mereka tahu beliau menolak politik wang.

Ditanya sama ada beliau yakin menang dalam pemilihan kali ini, Azmin menjawab bahawa beliau percaya dengan kebijaksanaan ahli parti .

Katanya, mereka perlu tahu siapa yang hendak dipilih demi kebaikan parti.

"Setakat ini, Alhamdulliah," katanya secara berseloroh. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa proses pengundian dalam pemilihan PKR bagi Cabang Sungai Petani hari ini kecoh apabila nama seorang calon bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang itu tiada dalam senarai.

    

Penyokong S Arvind Kumar bertindak melakukan protes apabila mendapati nama Arvind Kumar tiada dalam senarai pencalonan atas alasan tidak layak bertanding.

    

Perkara itu hanya diketahui Arvind Kumar apabila tiba di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai Taman Seri Wangi di Sungai Petani.

    

Arvind Kumar berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai pembatalan pencalonannya daripada ibu pejabat PKR.

    

Katanya hanya terdapat seorang nama calon dalam senarai itu.

    

"Yang sakit hati ni sampai semalam kita dok kempen... seminggu dah saya dok kempen... so bila masuk pagi tadi... tengok dalam senarai AMK langsung tak ada (nama)... mana boleh menang tanpa bertanding?

    

"Saya panggil jawatankuasa pemilihan, depa semak. Jawapan mereka lepas (selesai) ketua cabang wanita baru jadual balik AMK. Jadi depa mintak tunggu," katanya.