Seorang pekerja Bangladesh cedera parah manakala lima lagi cedera ringan dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kongsi di tapak projek berhampiran Taman Villa Tasek Mutiara di Nibong Tebal petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Supt Shafien Mamat berkata pergaduhan dipercayai bermula akibat perebutan bilik air kira-kira pukul 7.40 malam.

"Seorang daripada mereka dikatakan telah berebut bilik air dan mengotorkannya dengan memakai but keselamatan bekerja yang berlumpur.

"Berikutan itu rakannya yang tidak berpuas hati telah memarahinya sebelum  berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara mereka dengan menggunakan sebilah pisau," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.

Beliau berkata empat rakan yang lain cuba meleraikan pergaduhan itu bagaimanapun mereka turut tercedera sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

Shafien berkata pihak polis menahan enam lelaki Bangladesh berusia antara 28 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai  digunakan dalam kejadian itu.

Kesemua yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

- Bernama