Kapten skuad hoki negara, Azlan Misron berpendapat bahawa Malaysia memerlukan khidmat pemain berpengalaman untuk mengalas cabaran yang lebih sukar pada Piala Dunia di The Hague , Belanda dari 31 Mei hingga 15 Jun ini.

Beliau berkata berdasarkan persembahan skuad negara pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 yang menutup tirai hari ini, jelas kelihatan benteng pertahanan negara perlu diberi perhatian serius jika tidak ingin menjadi pasukan belasahan.

"Apa pun terpulang kepada jurulatih Muhammad Dharmaraj Abdullah untuk membuat keputusan akhir pemilihan pemain bagi mengalas cabaran ke Belanda, kerana beliau lebih arif dalam perkara ini," katanya.

Walaupun gagal mara ke final, Malaysia berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Kanada 4-2 pada perlawanan penentuan di Kuantan hari ini.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia ialah kedudukan keempat pada edisi pertama di Kuala Lumpur pada 2001 dan 2012 di Argentina.

Azlan berkata kejayaan itu diharap dapat menyuntik semangat pemain untuk mencipta kejutan pada saingan Piala Dunia nanti.

Sementara itu, pemain berpengalaman Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil turut bersetuju dengan pendapat Azlan bahawa khidmat pemain senior diperlukan bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada Piala Dunia.

Beliau berpendapat pemain remaja dalam skuad senior memerlukan masa untuk mendapat keserasian dan ianya mustahil dapat dilakukan dalam tempoh masa singkat.

- Bernama