BAM bukan ketua bahagian Tg Karang
Seorang ahli Parti KeADILan Nasional bahagian Tanjong Karang, Baharudin Ali Masrom yang menyertai Umno semalam tidak pernah diberikan mandat untuk mengetuai bahagian itu seperti dakwaannya.
Malah jawatankuasa perhubungan Selangor menolak penglibatannya sejak pilihanraya umum November lalu.
Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir, mendakwa Baharudin atau dikenali juga sebagai BAM "tidak punya keberanian untuk menonjolkan diri" kerana beliau bertugas sebagai seorang pegawai di Yayasan Selangor.
Apabila ditanya malaysiakini petang tadi tentang hal itu, BAM mengaku beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Penaja bahagian tersebut.
Beliau juga menjelaskan tindakannya menyertai KeADILan kerana rasa simpati dan percaya bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim "teraniaya".
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan KeADILan Selangor, Yahya Sahri, apabila dihubungi malaysiakini mengesahkan badan itu tidak pernah memberikan perakuan bahawa BAM sebagai Ketua Bahagian.
Malah, katanya, keahlian bahagian itu baru diluluskan bulan lepas.
"Kita belum melantik sesiapa sebagai Ketua Bahagian Tanjong Karang dan mesyuarat agung Bahagian pun belum dibuat,"jelas beliau.
Badan perhubungan negeri itu menyelar tindakan BAM sebagai "mencemarkan perjuangan parti" itu.
"Beliau mula mencemarkan nama baik parti dengan menaja kempen seorang calon bebas sepanjang pilihan raya tahun lalu," jelas Yahya lagi.
Yahya juga mendakwa ketika pilihan raya umum lalu, BAM telah berjumpa Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar bagi memastikan "kemenangan Barisan Nasional" di kawasan itu.
Bagaimanapun, BAM menjelaskan semua dakwaan tersebut sebagai "pembohongan dan penipuan" daripada dua pemimpin KeADILan itu.
"Saya hendak memberi amaran kepada mereka supaya tidak terus menipu rakyat dan menjatuhkan kawan sendiri," tegasnya.
Beliau menegaskan kesedarannya untuk meninggalkan parti kerana pemimpin mementingkan kedudukan dan juga tindakan Yahya yang mengendalikan mesyuarat secara "menyorok-nyorok" serta tidak mengikut prosedur yang betul.

