Ibrahim Ali: Kami dijemput pantau hudud Brunei
NGO pendesak Melayu PERKASA antara yang dijemput oleh Sultan Brunei Hassanal Bolkiah untuk membuat pemantauan tentang perlaksanaan hudud di Brunei Darussalam yang bermula Khamis lalu.
Perkara itu diumumkan Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali kepada media selepas menghantar memorandum ucapan tahniah atas perlaksanaan undang-undang Islam itu kepada kedutaan Brunei di Kuala Lumpur petang ini.
Ibrahim yang berbesar hati menerima pelawaan itu bagaimanapun tidak memberikan tarikh tepat lawatan itu akan dilakukan.
“Kami diundang oleh pihak Tuan Yang Terutama melawat Brunei, bagi membuat tinjauan dan pemantauan mengenai perlaksaan hudud ini.
“Kami juga memohon merafak sembah menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Brunei,” katanya.
Ibrahim yang berbesar hati menerima pelawaan itu bagaimanapun tidak memberikan tarikh tepat sebaliknya akan dilakukan dalam masa terdekat dan sesuai.
Ibrahim juga memaklumkan kunjungan beliau bersama enam ahli Majlis Tertinggi PERKASA untuk menghantar memorandum di Kedutaan Brunei dan dibenarkan mendengar taklimat sejarah dan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam itu.
Antara yang hadir Naib Presidennya Syed Osman Syed Mansor, Setiausaha Agung Syed Hassan Syed Ali dan Yang di-Pertua PERKASA Negeri Sembilan, Roslan Kassim.
Memorandum itu diterima Persuruhjaya Tinggi Brunei Datuk Paduka Ishak Abdullah.

