Bekas menteri penerangan Mesir semasa pentadbiran bekas presiden Mohamed Morsi hari ini meminta sokongan rakyat Malaysia untuk mengutuk rampasan kuasa tentera Mesir.

Salah Abdel Maqsoud yang kini dalam buangan berkata beliau mewakili gabungan demokrasi di Mesir masih berjuang dengan aman sejak Morsi dijatuhkan tentera pimpinan Jeneral Al-Sisi sejak 10 bulan lalu.

"Saya minta rakyat Malaysia bersama dalam perjuangan mendapatkan hak dan kebebasan di mana-mana sahaja termasuk di Mesir.

"Kita akan terus guna pendekatan awam. Kita tidak akan menggunakan pendekatan bunuh tentera dan polis," kata beliau dalam sesi temuramah dengan media Malaysia di pejabat Global Moderation Movement Foundation di Damansara hari ini.

Beliau juga berharap supaya media di Malaysia tak mendengar apa yang dianggapnya sebagai gambaran negatif mengenai Morsi seperti digembar-gemburkan oleh Al-Sisi.

Beliau bercakap dalam bahasa Arab yang diterjemahkan oleh ahli jawatankuasa NGO gabungan 'Malaysians for Egypt' Abd Haris Bain

Salah berkata beliau turut bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pagi ini bagi menyatakan keinginan beliau dan partinya Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) untuk belajar dari Malaysia.

Beliau berkata beliau kini mewakili gabungan pendukung demokrasi nasional Mesir mahu memulihkan kembali negara itu seperti pada zaman Morsi.

Empat kesalahan

"Gabungan yang menyokong demokrasi ini terdiri dari 60 kumpulan. Gabungan (ini) tegas menyatakan apa yang berlaku di Mesir kepada masyarakat.

"Gabungan ini anggap sebarang tindakan yang berkaitan kudeta ini tidak sah dan salah," katanya.

Bagaimanapaun, yang menariknya dalam wawancara itu, Salah turut mengakui partinya, Morsi dan rakyat Mesir sendiri melakukan empat kesalahan.

"Morsi bukan malaikat dan kami bukan malaikat. Kesalahan kami ialah percaya kemenangan melalui pilihan raya. Bila mereka kalah pilihan raya panggil tentera untuk menjatuhkan kami.

"Kesalahan kedua, kami lakukan kami percayai dunia menentang kudeta (yang menjatuhkan Morsi) tetapi bila berlaku (kudeta) mereka (kuasa asing) membiarkan.

"Ketiga, kami percaya negara jiran kami. Sekarang mereka beri duit (kepada al-Sisi) untuk tikam kami dari belakang."

"Kesalahan patut diakui rakyat Mesir kerana percaya kepada kumpulan yang melakukan kudeta tersebut dan sekarang ini mereka membayar sendiri dengan harga yang tinggi," kata beliau.

Salah berkata kesalahan itu diperbetulkan melalui pilihan raya bukannya dengan penggulingan kuasa.