Di ambang p'raya Mesir yang tak akan diiktiraf
Bekas menteri kerajaan bekas presiden Mesir Mohamed Morsi berkata rakyat negara itu tidak akan mengiktiraf pilihan raya presiden negara itu 26 Mei depan.
Salah Abdel Maqsoud yang menjadi menteri penerangan kerajaan Morsi sehingga digulingkan oleh tentera Mesir pimpinan bekas Menteri Pertahanan era Presiden Hosni Mobarak Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi pada Julai tahun lalu.
"Kumpulan yang berjuang selamatkan Mesir daripada pemerintahan Morsi dahulu, iaitu Jabahatul Imqas, sekarang ini sudah sedar mereka ditipu oleh kudeta Al-Sisi.
"Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang kudeta termasuk Jabahatul Imqas dan Front Penyelamat Mesir," kata beliau dalam sidang media di pejabat Global Movement of Moderates Foundation (GMMF) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata dalam bahasa Arab dan diterjemah oleh ahli jawatankuasa NGO Malaysians for Egypts Abd Haris Bain.
Menurut Salah, dunia perlu tahu kekejaman yang dilakukan rejim tentera Al-Sisi yang kini dakwanya telah membunuh lebih 5,000 rakyat Mesir dan memenjarakan lebih 23,000 orang yang berdemonstrasi secara aman membantah penggulingan Morsi.
Morsi seorang pemimpin parti sayap politik Ikhwanul Muslimin, Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP).
Menurut beliau Al-Sisi telah menunjukkan belang sebenar dengan mencalonkan diri sendiri bagi pilihan raya presiden setelah merampas kuasa atas nama rakyat pada 3 Julai tahun lalu.
"Sekarang terzahirlah tujuan kudeta tersebut bila hanya Al-Sisi dan Hamdeen Sabbahi yang menjadi calon pilihan raya.
"Mereka (golongan anti-Morsi) jangkakan bila berlaku kudeta tentera, kuasa akan serahkan dalam pinggan emas (secara mudah).
“Kini kita lihat bila tentera jatuhkan demokrasi, besar kemungkinan tentera menipu. Dengan pilihan raya yang tidak bersih, ketua tentera jadi presiden.
"Tuan-tuan jangan percaya Mesir akan kembali ke demokrasi yang sebenar?" beliau memberi amaran.
Salah berkata Morsi ketika menjadi presiden telah bekerjasama dengan semua pihak dan menjaga dengan baik pihak pembangkang.
Menurut Salah, Morsi telah melantik timbalan presiden dan menteri beliau dari kalangan parti lawannya serta membenarkan pemimpin pembangkang muncul di media rasmi Mesir.
Beliau berkata kepimpinan era Morsi kini sedang mengumpul sokongan bagi menekan rejim Al-Sisi.
"Ratusan kepimpinan era Morsi sempat keluar negara dan mereka termasuk saya berada di luar melakukan tekanan antarabangsa.
"Ini ketentuan Allah. Kalau boleh Rakyat Mesir nak balik esok.
"Ikhwan dan FJP akan gabungkan kekuatan dengan semua yang lain untuk bina semula Mesir. Kita sedang menyediakan bahan kajian dan usaha bagaimana menggabungkan Mesir selepas kudeta ini jatuh nanti," kata beliau.
Rakyat Mesir dijadualkan membuang undi pada 26 dan 27 Mei depan dengan kempen tiga hari bermula pada 23 Mei.
Al-Sisi dianggap calon terkuat berbanding Hamdeen yang mendapat undi ketiga tertinggi semasa pilihan raya presiden 2012 yang dimenangi Morsi.

