Semua ahli parlimen Islam diharap dapat menyokong pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Islam (II) yang hendak dikuatkuasa kerajaan Kelantan.

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata walaupun kerajaan negeri itu sudah bersedia, sokongan majoriti di parlimen sangat penting bagi menentukan pelaksanaan undang-undang itu,  lapor Sinar Harian hari ini.

"Kelantan telah menyediakan apa yang sepatutnya perlu dibentangkan di Parlimen. Saya yakin sejak sekian lama dirancang, kini kerajaan telah bersedia sebaik-baiknya.

"Kita mengharapkan sokongan di peringkat Parlimen pula. Ini tanggungjawab kita sebagai orang Islam," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, bagi merealisasikan pelaksanaan undang-undang tersebut, Daud berkata Kelantan perlu menyediakan tiga hakim di Mahkamah Syariah Khas dan lima hakim di Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

Mengulas isu masyarakat bukan Islam yang sebahagian besar menolak hukum itu, Daud berkata pelaksanaannya tidak melibatkan orang bukan Islam dan ia bukan satu perkara yang perlu dibimbangi.

Dalam laporan itu juga, Daud berkata masyarakat bukan Islam bukan dipaksa memeluk Islam, cuma mahu mereka mendengar penerangan mengenai hudud malah dapat membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama memahaminya dengan lebih jelas.

"Cukuplah mereka memahami bahawa hukum hudud memberi keadilan kepada masyarakat, ia tidak akan menjejaskan apa-apa, malah sebenarnya membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat.

"Buat masa ini, Kelantan sedang menyediakan apa yang sepatutnya dibentangkan nanti. Malah penerangan juga akan menyusul selepas ini melibatkan seluruh lapisan masyarakat. Yang penting kita berharap ia akan mendapat sokongan di Parlimen," katanya.