MP Batu Tian Chua menyelar kerajaan dan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Selamat Timur Esscom yang menurutnya masih tidak meningkatkan tahap keselamatan sehingga menyebabkan satu lagi kes penculikan bersenjata berlaku awal pagi ini.

Beliau berkata pihak berkuasa sepatutnya sepatutnya mengambul tindakan susulan dengan segera untuk meningkatkan keselamatan kawasan tersebut, selepas perkara itu dibahaskan di Parlimen.

"Saya dah berulang kali nyawatan keselamatan di kawasan Sabah, tempat berisiko tinggi.

"Tapi sepatutnya lepas perbahasan ada tindakan dari segi persediaan, malangnya kita lihat seolah-olah berjalan seperti biasa. Tak ada langkah tambahan (untuk) jamin keselamatan," katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes penculikan membabitkan sekumpulan lima orang lelaki yang dilaporkan melarikan seorang lelaki dipercayai warga China di Sabah.

Menteri pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjun mengesahkan bahawa kejadian berkenaan berlaku di Pulai Baik di perairan Silam, Lahad Datu pada kira-kira jam 2.45 pagi.

Beliau mengesahkan bahawa kumpulan bersenjata itu melarikan Yang Zailin, seorang pengurus di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd.

Tian Chua yang juga penyandang naib presiden PKR berkata, cara kerajaan BN itu hanya menjejaskan industri pelancongan negara ini

"Saya khuatir perkara ini berulang dan ini akan jatuhkan kedatangan pelancong asing di Malaysia.

"Selain peristiwa MH370 yang (seperti) membatalkan tahun melawat Malaysia, insiden ini akan jejaskan lagi industri pelancongan," kata beliau.

Bertegas dalam pemilihan PKR

Sementara itu Tian Chua bertanding mempertahankan posisi naib presiden dalam parti turut memuji tindakan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang bertindak tegas membatalkan keputusan cabang Batang Sadong akibat penipuan undi minggu lalu.

"Insiden melibatkan anggota tertentu kita akan ambil tindakan tegas.

“Saya lihat JPP ambil keputusan yang tidak sebelahi mana-mana pihak dengan batalkan keputusan undian yang terbukti tidak bersih," kata beliau.