60% pegawai imigresen kekal di LCCT
Ketika teruk dikritik, Jabatan Imigresen Malaysia mendakwa menugaskan sebahagian besar kakitangannya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang sementara selebihnya dihantar ke terminal baru KLIA2.
Dalam kenyataan lewat petang semalam, ketua pengarah jabatan itu Datuk Aloyah Mamat berkata 11 daripada 22 kaunter untuk pelawat asing terus dibuka sehingga AirAsia berpindah ke KLIA2 pada 9 Mei depan.
"Sebelum pembukaan KLIA2 jumlah kaunter imigresen yang beroperasi di LCCT sebanyak empat kaunter dan tiga pagar automatik bagi warganegara Malaysia dan 22 kaunter untuk pelawat asing.
“Walaupun imigresen beroperasi di kedua-dua terminal, kaunter pemeriksaan imigresen di LCCT hanya dikurangkan bagi kaunter pelawat asing sahaja, iaitu sebanyak 11 kaunter.
"Secara keseluruhannya seramai 60 peratus pegawai imigresen masih kekal di LCCT untuk menguruskan penumpang dari penerbangan AirAsia dan hanya 40 peratus berpindah ke KLIA2." kata beliau.
Beliau memberi respon mengenai kesesakan di pintu imigresen LCCT Ahad lalu yang menyebabkan kira-kira 1,000 penumpang terpaksa menunggu lebih satu jam di kaunter.
Aloyah diminta memperjelaskan kenyataan awalnya kepada Malaysiakini , di mana beliau berkata bahawa keadaan 'huru-hara' seperti didakwa penumpang merupakan salah AirAsia kerana enggan berpindah ke KLIA2 pada 2 Mei, seperti syarikat penerbangan bajet lain.
"Sebahagian besar daripada pegawai imigresen ditugaskan ke KLIA2 dan hanya beberapa kaunter untuk pelawat asing dan rakyat Malaysia, termasuk empat pintu automatik telah dibuka," beliau berkata Ahad lalu.
Dalam respon serta-merta, AirAsia menyatakan kekecewaan kerana imigresen menyalahkan syarikat penerbangan itu kerana keputusan berpindah pada 9 Mei yang telah dipersetujui semua.
Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa 92 peratus daripada penerbangan melalui LCCT - dan kemudian melalui KLIA2 - merupakan penerbangan AirAsia.

