mk-logo
Berita
SKMM: Keraguan menteri bukan tak berasas

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyuarakan keraguan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung data online yang dikeluarkan Ookla mengenai kelajuan jalur lebar Malaysia.

    

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dalam satu kenyataan hari ini berkata keraguan Ahmad Shabery bukannya tidak berasas.

    

"Sejak kebelakangan ini, beberapa ujian kelajuan jalur lebar telah dijalankan dan diterbitkan pelbagai pihak yang menggambarkan keputusan berbeza-beza," katanya.

    

Mohamed Sharil berkata setiap ujian kelajuan jalur lebar diukur menggunakan kaedah yang berbeza yang menyebabkan hasilnya berbeza-beza.

    

Dilaporkan bahawa Ookla dalam kajiannya baru-baru ini memberikan purata penarafan kelajuan jalur lebar Malaysia pada 5.48 Megabit sesaat (Mbps), lebih perlahan daripada Vietnam dan Kemboja.

    

Semasa Ahmad Shabery diminta mengulas kajian itu beliau dilaporkan sebagai berkata beliau agak ragu-ragu dengan kajian global Ookla.

    

Ookla merupakan peneraju global dalam ujian jalur lebar dan aplikasi diagnostik rangkaian berasaskan web. Perisian dan perkaedahan syarikat itu menetapkan standard industri jalur lebar untuk ketepatan, populariti, mudah digunakan dan seterusnya pembentukan data statistik.

    

Mohamed Sharil berkata keputusan berbeza-beza boleh didapati dalam ujian kelajuan jalur lebar memandangkan terdapat pelbagai laporan selain Ookla seperti Akamai dan International Telecommunication Union (ITU).

    

"Sebenarnya, jika anda lihat keputusan ujian Ookla sendiri, purata kelajuan jalur lebar di Kuala Lumpur adalah 6.29 Mbps dan malah Pantai (satu lokasi di Kuala Lumpur) menunjukkan kelajuan purata setinggi 21.84 Mbps.

    

"Semuanya bergantung kepada dari mana ujian itu diadakan dan berapa banyak bandaraya dikira," katanya.

    

Mohamed Sharil berkata, Malaysia mempunyai pasaran penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) yang mantap dan bertenaga, dan sesetengahnya menawarkan kelajuan yang lebih tinggi daripada yang lain.

    

Oleh itu, apabila ujian kelajuan dijalankan, keputusannya adalah purata," katanya.

    

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS