P'jaya tinggi UK risau isu kebebasan agama
Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone menamatkan perkhidmatannya di Kuala Lumpur semalam dengan melahirkan kebimbangan terhadap isu berkaitan kebebasan beragama di Malaysia.
Menulis sebagai blogger tetamu di lamanweb pegawai konsulat, beliau menggesa supaya menghormati kebebasan beragama, politik yang lebih inklusif dan pemansuhan undang-undang yang telah ketinggalan zaman.
"Saya harap, bulan-bulan yang mendatang akan menyaksikan lebih
banyak proses demokrasi yang lebih inklusif, manakala pemansuhan undang-undang era penjajah seperti Akta Hasutan, akan kembali ke landasannya," kata Feathersone (tengah), yang menyifatkan pilihan raya umum ke-13 sebagai "menentukan peristiwa politik" selama tiga setengah tahun berkhidmat di Malaylsia.
"Saya juga berharap kebebasan beragama di Malaysia terus dihormati. Insiden baru-baru ini telah merosakkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang pelbagai dan toleran," katanya.
Walaupun beliau tidak menyatakannya secara khusus, tetapi beberapa kes yang berkaitan kebebasan beragama termasuk pengharaman penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam, yang membawa kepada rampasan Bible dalam bahasa Melayu di Selangor.
'Insiden paling menyedihkan'
Featherstone turut memuji Malaysia atas sumbangannya kepada keamanan di rantau itu dengan menjadi orang tengah proses keamanan di Mindanao, serta menyuarakan rasa simpati terhadap tragedi kehilangan MH370.
Katanya, kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu merupakan 'tragedi yang paling menyedihkan' dalam tempoh beliau berkhidmat di Malaysia.
"Saya tidak dapat membayangkan apa yang dilalui oleh keluarga penumpang setiap hari. Saya amat bersimpati dengan mereka.
"Saya bangga dengan peranan yang dimainkan oleh UK dalam usaha mencari dan kami akan terus menawarkan apa sahaja sokongan yang boleh," katanya sambil berharap pesawat itu akan ditemui tidak lama lagi bagi mengakhir penantian keluarga terbabit.

