Wartawan penyiasatan AS kongsi pengalaman di KL
Wartawan penyiasatan terkemuka Amerika, Mark Lee Hunter, yang mengunjungi Malaysia minggu ini, akan berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam satu forum awam Sabtu ini.
Forum bertajuk ‘Powerful voices: Strengthening democracy through investigative journalism’ bakal meneroka halangan kepada kewartawanan yang baik di Malaysia, di mana media sering dilihat sebagai dikawal oleh pihak berkuasa.
Forum awam itu, yang akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLSCAH) pada 10 Mei jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari, dianjurkan oleh Universiti Nottingham Malaysia bersama dengan portal berita Malaysiakini dan SEAPA.
Penganjur forum tersebut percaya bahawa kewartawanan ulung amat relevan dalam masyarakat demokrasi hari ini supaya mereka yang berkuasa bertanggungjawab dan menghalang negara terjerumus ke kancah malapetaka.
"Tetapi kewartawanan jenis ini tidak muncul begitu sahaja. Ia memerlukan masa, sumber, kebebasan dan akses kepada maklumat. Tanpa semua ini, berita yang kita baca hanyalah seperti mengisi lubang atau menjadi alat mereka yang sudahpun berkuasa," kata penganjurnya.
"Sebelum anda 'lepak' dengan berita hujung minggu, sertai kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apakah keperluan dalam kewartawanan penyiasatan serta halangannya".
Manual wartawan penyiasatan
Hunter merupakan pensyarah adjung dan felo penyelidikan kanan di pusat pengajian terkemuka Insead Perancis.
Beliau merupakan penulis atau penulis bersama bagi 200 laporan
siasatan yang disiarkan termasuk di The New York Times Magazine, Readers Digest, Le Figaro, dan Harvard Business Review.
Hunter (kanan) adalah satu-satunya pemenang anugerah daripada Investigative Reporters and Editors Inc, sebuah organisasi terkemuka dalam bidang tersebut, dan merupakan pengasas bersama Global Investigative Journalism Network.
Beliau telah menghasilkan sebuah manual untuk pemberita penyiasatan pada tahun 2009 yang dikenali sebagai 'Story-Based Inquiry'.
Selepas ucaptama Hunter, sebuah panel pakar akan membincangkan beberapa isu utama berkaitan dengan media.
Ahli panel termasuk Pengarang Kumpulan Malaysiakini , SteUven Gan; Pengarah Eksekutif SEAPA, Gayathry Venkiteswaran dan Profesor Zaharom Nain dari Universiti Nottingham.
Untuk maklumat lanjut, klik di sini .

