Hudud: MP PAS sedia dialog dengan MCA, NGO
MP PAS Temerloh Nasrudin Hassan sedia berdialog dengan MCA dan Gabungan Persatuan Cina Temerloh untuk menyelesaikan isu perlaksanaan hukum hudud yang menjadi isu yang hangat diperkatakan kini.
Katanya, ia bertujuan merungkai salah faham mengenai perlaksanaannya dan memberi peluang kepada mereka menyuarakan perkara yang tidak difahami tentang perlaksanaan undang-undang jenayah syariah itu, lapor Sinar Harian.
“Dialog adalah salah satu jalan terbaik untuk memberi jawapan kepada 1,001 persoalan yang mencetus kebimbangan mereka terhadap hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan mana-mana pihak yang keliru sewajarnya menerima penjelasan terlebih dahulu sebelum menentang,” katanya seperti dilapor akhbar itu.
Nasrudin yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata surat tawaran dialog itu telah dihantar oleh pejabat parlimennya kelmarin.
“Saya berharap MCA dan gabungan Persatuan Cina Temerloh dapat berdialog dengan kami bagi menjelaskan apa yang mencetus salah faham mereka terhadap Islam dan perlaksanaan hukuman yang ditetapkan oleh Islam.
“Bila dan dimana dialog itu, terpulang kepada kesediaan MCA dan saya perlu mendapat respons balas dari pihak mereka terlebih dahulu setelah mereka menerima surat dari kami selepas ini,"katanya.

