Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong berkata pihak pendakwaan tidak sepatutnya membazirkan wang rakyat dengan mendakwa ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dengan pertuduhan sama selepas ia ditolak oleh mahkamah sama, 12 hari lalu.

Nik Nazmi, 32, pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa gagal memberi notis sepuluh hari kepada polis sewaktu penganjuran himpunan 'Black 505', tahun lalu.

Beliau dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April lalu dan dibebaskan sekali lagi oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas beliau didakwa semula.

Menurut Leong, seseorang itu tidak boleh didakwa dengan kesalahan yang sama jika beliau telah dibebaskan oleh mahkamah, dan ia menjadikan Nik Nazmi dikenakan pendakwaan dua kali.

"Ia tak kena dari segi undang-undang untuk mendakwa beliau semula dengan tuduhan yang sama.

"Ia membazirkan wang orang ramai," katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]