Khalid Ibrahim mahu pinda kenyataan tuntutan
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon untuk meminda pernyataan tuntutannya dalam saman terhadap Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan kerajaan kerana didakwa telah membayangkan beliau menyalahgunakan kedudukannya atas kapasiti peribadi dan sebagai penjawat awam.
Peguam K Muralidharan memberitahu pemberita bahawa mereka memfailkan satu permohonan untuk meminda pernyataan itu bagi menambah nama seorang pegawai SPRM yang merakamkan temubual dan memuat naik ke dalam lamanweb SPRM dan YouTube yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terhadap Abdul Khalid, sebagai pihak dalam saman itu.
Muralidharan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 21 Mei untuk mendengar permohonan itu semasa berjumpa pihak-pihak berkenaan di dalam kamar bagi pengurusan kes hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom bertindak bagi pihak Abu Kassim dan kerajaan.
Abdul Khalid, dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 24 Disember tahun lepas berkata pihak defendan pada 4 April tahun lepas menemubual seorang bernama Airos Shahidin Manaf dan kemudian memuat naik rakaman temubual itu ke dalam portal rasmi MACC dan YouTube.
Beliau mendakwa temubual itu kemudian dimuat turun, disalin, dicetak dan disiarkan dalam akhbar tempatan dan asing.
Abdul Khalid menegaskan bahawa kata-kata dalam artikel itu membayangkan beliau bersalah atas amalan rasuah, tidak amanah dan tidak layak sebagai seorang ahli politik.
Beliau berkata pihak defendan gagal untuk mengesahkan kebenaran tuduhan itu, sambil menambah artikel itu menjatuhkan maruahnya sebagai anggota Parlimen Bandar Tun Razak dan anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.
Beliau menuntut gantirugi dan/atau kerugian am serta gantirugi teruk dan gantirugi teladan daripada Abu Kassim dan kerajaan.
- Bernama

