CAP gesa pantau produk makanan serupa rokok
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan memantau penjualan produk mainan dan makanan menyerupai bungkusan rokok yang menyasarkan kanak-kanak sebagai pengguna di George Town.
Presidennya SM Mohamed Idris berkata produk seperti coklat, gula-gula pelbagai perisa dan mainan air itu dipercayai diimport dan dijual antara RM3 dan RM6 di kedai barangan permainan dan kedai hadiah termasuk di pusat membeli belah.
"Terdapat juga helaian kertas nota berwarna putih dan kuning diletakkan dalam kotak seakan-akan sama dengan jenama rokok terkenal, lengkap dengan arahan cara menggulung kertas itu menjadi seperti rokok," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Beliau berkata label yang terdapat pada rokok seperti kandungan tar serta nikotin rendah dan tembakau membahayakan kesihatan turut tertera pada bungkusan mainan itu, dilihat seolah-olah bagi membiasakan rokok kepada kanak-kanak.
Mohamed Idris berkata kajian CAP mendapati 50 hingga 70 orang dari kumpulan berumur antara 12 dan 18 tahun mula merokok setiap hari di negara ini.
Lambakan produk itu boleh membantutkan usaha membendung tabiat merokok dalam kalangan generasi muda, katanya menambah pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang memperkenalkan produk berkenaan.
- Bernama

