Anggota Majlis Tertinggi yang baru dipilih, Datuk Annuar Musa, hari ini menggesa perwakilan memahami maksud tersirat Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, membangkitkan isu bekas timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasar semalam.

"Perwakilan marah-marah semalam apabila isu Anwar disebut oleh Presiden," katanya ketika membahaskan ucapan tersebut pagi ini. "Mereka perlu faham mengapa Presiden mengulangi hal tersebut."

Beliau juga menegur pucuk pimpinan parti itu yang terlalu ghairah menyekat politik wang sehingga membataskan kempen. "Kalau mahu meracun lalang (politik wang), jangan sampai yang lain (kempen) mati," kata Annuar berkias.

Beliau menegaskan kempen sepatutnya dibenarkan di samping mengawal kegiatan politik wang.

Annuar juga membangkitkan isu G7 atau tujuh orang perwakilan yang dipilih dalam mesyuarat agung bahagian dan G5 atau lima orang perwakilan bahagian yang terpilih secara automatik untuk ke mesyuarat agung Umno.

"Kumpulan G7 digambarkan seolah-olahnya golongan yang menerima rasuah dan mereka disalahkan," katanya, berbanding kumpulan G5 yang terdiri daripada mereka yang sudah memegang jawatan rasmi di peringkat bahagian.

"Sebenarnya kumpulan (G7) inilah yang mencerminkan hasrat ahli-ahli di peringkat akar umbi."

Pandangan itu mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Annuar berhujah jentera parti harus lebih kuat berbanding calon yang bertanding dalam pilihan raya. "Lihat kes (AJK PAS Pusat) Mohamad Sabu. Walaupun namanya tercemar (selepas dituduh berkhalwat), undinya makin bertambah kerana jentera PAS kuat," hujahnya.

Beliau juga mempersoalkan pendekatan pemimpin Umno yang tidak mendekati ahli akar umbi dan orang ramai.

"Lihat (Menteri Besar Kelantan) Nik Aziz, Mohamad Sabu dan (Menteri Besar Terengganu) Abdul Hadi, mereka bergerak ke seluruh negara," kata Annuar, sambil bertanya berapa ramai pemimpin Umno sanggup berbuat demikian apabila memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Annuar juga meminta Umno mendekati golongan profesional, ulama, intelektual dan pelajar. "Golongan ini mesti didekati semula agar kita (Umno) tidak ditinggalkan keseorangan," katanya.

Annuar juga menyoal, "kenapa orang (bijak) pandai marahkan Umno?" Beliau memberi contoh jumlah undi yang semakin banyak diberikan kepada parti pembangkang di Kuala Lumpur dalam pilihan raya umum lalu sebagai membuktikan golongan tersebut tidak menyokong Umno.

Annuar mencadangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu "bekerjasama dengan Umno."

Di akhir ucapannya, Annuar mencadangkan Majlis Tertinggi menggubal "agenda reformasi" untuk mengukuhkan lagi parti itu.

Annuar mengambil masa hampir 30 minit dalam sesi pagi dan beliau diminta berhenti apabila masa rehat semakin hampir.